Halaman

Khamis, 25 Ogos 2016

Ke Mana Menghilang


Tiga tahun dua bulan bukan satu jangkamasa yang pendek. Ya tempoh itulah saya tinggalkan sebarang coretan dalam blog ini. Bukan saya sudah berkubur tetapi fenomena media sosial telah sedikit sebanyak membunuh catatan dalam blog ini.

Mulai hari ini saya berazam untuk meneruskan bicara saya dalam blog ini buat sesiapa yang sudi membacanya. Sebenarnya saya pun dah terlupa kata laluan blog ini akibat terlalu lama ditinggalkan. Alhamdulilah saya sudah mendapatkan semula kata laluan saya.

Sepanjang tempoh 3 tahun ini juga terlalu banyak kisah suka duka yang dialami. In syaa Allah akan saya kongsikan catatan itu nanti. Rasanya setakat ini bicara saya pada kali ini. rasa kekok nak menaip panjang. Bertemu di lain bicara.

Terima kasih

Rabu, 12 Jun 2013

Hujan Yang Turun

Hujan yang turun lebat telah membawa pasir-pasir dari atas tanah kebun saya ke kolam takungan yang disediakan. Pasir ini saya gunakan untuk tujuan membuat asas konkrit dan mengikat bata. Selain itu pasir tersebut saya gunakan untuk menabur di dalam reban bagi memudahkan ayam-ayam mandi tanah serta tinja ayam akan cepat mereput dan kurang berbau.

Setelah parit kecil saya buat di tepi kebun saya, laluan air lebih terurus berbanding dengan sebelum adanya parit yang saya buat. Jika dahulu arus air akan melanda lorong-lorong yang terbentuk akibat hakisan di celah-celah pepohon pisang tetapi kini tidak lagi. Saya telah membuat satu lencongan parit di bahagian tengah tanah saya untuk membawa saluran ke tepi parit yang saya bina.

Di bawah ini diberikan sedikit gambaran situasi sebelum dan selepas parit dibina.

Sebelum





Selepas parit dibina




Rabu, 5 Jun 2013

Pembersihan Kebun Pisang

Hari ini saya telah membersihkan kawasan penanaman pisang berangan saya. Saya mengambil keputusan untuk menanam pisang emas selepas ini. Walaupan pisang emas agak ringan berbanding dengan pisang berangan iaitu sekitar 12kg. Namun penjagaan pisang emas lebih mudah berbanding dengan pisang berangan.

Pisang emas boleh mengeluarkan hasil selepas 10 bulan ditanam berbanding dengan pisang berangan memerlukan 13 bulan baru mengeluarkan hasil. Pisang emas dapat mengeluarkan hasil sehingg generasi ke-3 berbanding pisang berangan hanya sekali sahaja mengeluarkan hasil dan hasil ke-2 selalunya akan diganggu penyakit dan kualiti buah sangat buruk.





Sabtu, 11 Mei 2013

Kemaskini Pembesaran "Banglo Ayam"

Pembesaran banglo ayam telah bermula setelah mempunyai sedikit masa lapang. Saya cuma sempat mendirikan tiang dan membuat sedikit asas pembinaan reban ayam yang baru. Keluasan yang dibina ialah 24 kaki x 42 kaki.



Khamis, 18 April 2013

Serangan Ular Tedung

Semalam saya agak terkejut apabila sampai sahaja di kebun didapati pintu reban bergerak-gerak. Rasa curiga dan takut pun ada. Perlahan-lahan saya buka pintu reban dan saya dapati seekor ular tedung sedang terperangkap di dalam jaring penahan anak ayam.

Bagai nak jatuh jantung seketika melihat ular tedung yang agak besar itu. Namun saya tidak mudah panik. Saya segera mengambil sebatang pahat yang kebetulan berada berhampiran dengan reban saya. Dengan niat untuk membunuh ular tersebut saya dengan satu rejaman yang agak kuat telah memancung kepala ular tedung tersebut.

Sebanyak 5 ekor anak ayam telah terkorban akibat terkena semburan bisa ular tersebut semasa terperangkap di dalam jaring. Alhamdulilah cuma 5 ekor sahaja yang terkorban dan beberapa ekor lagi sedang mengalami kesakitan akibat tempias semburan bisa ular tersebut. Saya segera memberikan anak ayam minum air kelapa muda.

Sejak peristiwa tersebut, saya akan pastikan belerang ditabur disekeliling reban setiap minggu. Ada hikmah disebalik setiap kejadian yang berlaku.





Sabtu, 16 Mac 2013

Ubi Kayu Sebagai Makanan Ayam

Hari ini saya telah mencabut beberapa batang ubi kayu yang saya tanam di kawasan kebun saya untuk diberi makan kepada ayam. Alhamdulilah setiap pokok ubi kayu yang saya tanam menghasilkan hampir 10kg ubi kayu setiap pokok. Ubi-ubi kayu ini akan saya potong kepada beberapa bahagian agar mudah untuk ayam-ayam saya makan dan tidak berebut-rebut antara satu sama lain.

Ubi kayu adalah sumber karbohidrat yang tinggi. Penanamannya yang mengambil masa 6 bulan untuk matang( sedia dituai). Jika melebihi 6 bulan, ubi kayu akan sedikit keras dan tidak sesuai untuk direbus atau dibuat kerepek. Namun tujuan saya menanam ubi kayu adalah untuk dijadikan makanan sampingan kepada ayam, jadi tidak timbul isu ubi kayu itu keras kerana ayam tidak menolak makanan yang terhidang.

Insyaallah dalam nukilan yang akan datang, saya akan berikan tips untuk menanam ubi kayu bagi menghasilkan ubi yang banyak bagi setiap pokok.



Khamis, 7 Mac 2013

Pembesaran "banglo ayam".

Alhamdulilah syukur..... Perancagan saya untuk membesarkan lagi reban sedia ada dalam landasan yang betul. Reban sedia ada akan dismbung di bahagian tepi iaitu seluas 24 kaki x 42 kaki. Reban baru yang bakal dibina ini khas untuk menempatkan induk-induk ayam dan ayam yang berusia 4 bulan hingga tempoh untuk dijual. Reban lama akan saya gunakan untuk menempatkan anak-anak ayam berusia sebulan hingga 3 bulan.

Perancangan ini mungkin memakan masa kerana banyak kekangan masa yang terpaksa saya tempuhi. Untuk mengambil seorang pekerja, rasanya belum sampai ke tahap itu memandangkan ayam-ayam pun masih dalam kuantiti yang sedikit. (ciput je lagi). Insyaallah nanti jika ada rezeki dari Allah, saya akan ambil seorang pekerja sambilan untuk kerja-kerja di kebun saya.