Sagu rumbia saya beli daripada penduduk berhampiran dengan harga RM20 sepokok. Namun kos menebang dan mengangkut batang rumbia ke dalam kebun terpaksa saya tanggung. Penat jugalah untuk mendapatkan sebatang pokok rumbia. Hal ini adalah kerana batangnya yang besar dan berat memerlukan tenaga yang banyak.
Pohon rumbia yang dipilih terdiri daripada pohon yang sudah mengeluarkan buah. Ini adalah kerana kandungan sagunya pada ketika itu amat banyak dan baik berbanding dengan pokok yang belum mengeluarkan buah ataupun sudah hampir mati.
Batang sagu akan direndam didalam air sebagai tempat penyimpanan. Hal ini kerana batang sagu yang terdedah kepada udara akan mereput dan berkulat. Untuk mengekalkan sagunya, ianya perlu direndam di dalam kolam.
Kini saya mengupah penduduk sekitar untuk menebang dan mengangkut batang sagu ke kebun saya. Kadarnya masih berbaloi berbanding dengan kudrat yang perlu saya keluarkan untuk mengangkut batang sagu itu sendiri ke kebun saya.