Induk ayam saya miliki buat masa ini adalah sebanyak 25 ekor ibu dan 2 ekor bapa. Induk ini akan dilepaskan bermula pada pukul 10 pagi dan akan masuk semula ke dalam reban setelah matahari terbenam. Alhamdulilah buat masa kini disiplin induk-induk ayam saya cukup tinggi dan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Tidak ada seekor pun yang tinggal di luar reban pada waktu malam. Hal ini akan dapat memastikan induk-induk ayam ini selamat daripada serangan ular, musang, anjing dan lain-lain pemangsa. Terdapa satu tips untuk saya kongsi bersama anda semua bagi menangani masalah ayam tidur di atas pokok.
Pertamanya kita hendaklah memastikan reban tempat tinggal ayam kita berada dalam keadaan selesa. Selesa bermaksud tidak terlalu sesak dan tempat tenggek ayam tadi mencukupi. Kebersihan reban juga perlu dititikberatkan kerana reban yang kotor dan penuh taik akan menimbulkan rasa kurang senang ayam tadi untuk tidur.
Selain itu, letakkan bekas makanan dan air di dalam reban bagi mengundang ayam tadi masuk ke dalam reban. Hal ini akan memujuk ayam tadi untuk tinggal di dalam reban. Ini adalah kerana makanan yang sentiasa ada akan memberi rasa seronok ayam tadi.
Jika ada ayam yang tidur di atas pokok, tangkap dan kurung dia di dalam sangkar khas di dalam reban. Sangkar tersebut cukup untuk memuatkan ayam tadi sahaja. Penjarakan di situ selama seminggu. Selepas seminggu, lepaskan ia seperti biasa. Insyaallah selepas itu ayam tadi akan masuk ke dalam reban untuk tidur pada waktu malam. Namun ada juga kes yang mana ayam tadi tetap degil dan tidak mahu mengikut peraturan. Jalan penyelesaiannya mudah sahaja, berikan ia ubat mata pisau. (sembelih aje atau jual).