Halaman

Khamis, 10 Mei 2012

Mengapa telur betina lebih banyak dieramkan?

Dalam catatan saya sebelum ini telah saya tinggalkan dengan persoalan mengapa saya mengeramkan 90% telur betina berbanding telur jantan hanya sebanyak 10%.

Sebab yang pertama ialah permintaan ayam hidup di pasaran lebih kepada stok ayam betina (dara). Saya telah berkesempatan meninjau beberapa lokasi penjualan ayam kampung asli di negeri Kedah. Hampir 90% stok ayam betina(dara) akan habis dahulu berbanding dengan stok ayam jantan.

Alasan saya yang kedua ialah berdasarkan umur matang ayam tersebut. Ayam betina hanya mengambil masa 6 bulan untuk mencapai usia matang dan mencapai berat purata 1.3kg seekor. Usia matang bermaksud tekstur daging ayam tadi cukup lembut dan rasanya lebih manis. Ayam jantan pula mengambil masa 8 bulan untuk mencapai tempoh matang dan mempunyai berat purata 1.8kg seekor. Jadi saya dapat menjimatkan masa selama 2 bulan dan kos makanan.

Alasan saya yang ketiga pula kerana saya hanya akan memilih baka jantan yang benar-benar berkualiti untuk dijadikan bapa dan dijual kepada individu yang berminat. Selalunya ayam jantan untuk dijadikan baka akan dijual mengikut harga seekor dan bukan kepada berat. Justeru untuk menjaga kualiti ayam baka ini, saya hanya hadkan antara 5 hingga 10 ekor dalam satu-satu masa. Ayam ini saya jual pada harga RM50 hingga RM100. Suka saya ingatkan di sini bahawa saya tidak menjual ayam untuk tujuan sabung.



Sebahagian ayam sedang makan nasi dari sisa makanan kantin.


Pokok Rozell pun menyembah bumi dikerjakan ayam-ayam remaja saya.


Sedang menghitung hari untuk dijual


Berkelah di bawah pohon kantan


Inilah wajah bapa ayam saya.

Rabu, 9 Mei 2012

Bertelur Sebiji Riuh Sekampung.


Pepatah ada mengatakan "Ikutlah resmi padi, makin tunduk makin berisi. Jangan diikut resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung." Saya sebagai guru mengiakan pepatah tersebut. Namun sebagai penternak, saya melihat ada mesej yang ingin disampaikan oleh ayam yang bertelur tadi.


Pertamannya, ayam tadi sebenarnya ingin berkongsi kegembiraan bersama rakan-rakannya yang berada disekelilingnya. Dia ingin memberitahu bahawa ahli keluarganya akan bertambah lebih besar. Keduanya, ayam tadi cuba menghiburkan rakan-rakannya yang murung, sedih, dan tidak ceria agar dapat melupakan masalahnya dan turut berkongsi kegembiraan bersama.


Kita sebagai manusia juga acapkali dilanda masalah yang sukar dirungkaikan atau masalah yang boleh membawa kesan mendalam dalam hati. Dengan mendengar berita gembira, kita dapat melupakan sebentar masalah yang membelenggu diri kita.


Ketiganya, ayam tadi ingin menyampaikan mesej kepada tuan dia (sayalah tu) bahawa ada rezeki untuk saya. Saya amat terhibur pabila mendengar ayam yang berketuk sepanjang hari saya berada di kebun bersama ayam-ayam saya.


Kita dapat menentukan jenis telur itu sama ada telur jantan atau betina dengan melihat pada saiznya. Sila lihat label yang saya letakkan pada gambar telur di atas. Telur yang agak bulat, adalah telur baka ayam betina dan telur yang agak lonjong seperti bola ragbi itu adalah telur baka jantan.


Selalunya saya akan mengeramkan telur betina 90% dan jantan hanya 10%. Telur jantan akan saya jual kepada pembeli bersama-sama telur betina yang tidak berbaka. Mengapa saya lebih bayak mengeramkan telur betina berbanding telur jantan akan saya huraikan dalam catatan akan datang.

Selasa, 8 Mei 2012

Anak ayam yang sudah menetas


Anak ayam yang sudah 3 hari menetas akan dikeluarkan dari inkubator dan ditempatkan di dalam "brooder" yang saya reka khas untuk diberi makan dan minum. Lampu akan dipasang pada sebelah malam sahaja. Pada waktu siang penutup "brooder" dibuka untuk membenarkan cahaya dan udara masuk.



Selepas seminggu anak ayam diletakkan di dalam "brooder" ia akan ditempatkan pula di dalam reban khas yang dibuat dalam reban induk. Tujuan utama perkara ini dibuat agar anak-anak ayam ini berasa selamat apabila melihat abang dan kakak mereka serta ibu dan bapa mereka berada dekat dengannya. (teori saya sahaja). Kesannya memang nampak kerana anak ayam tadi tidak lagi murung. Mereka akan tinggal di sini sehingga usianya mencecah sebulan.

Ahad, 6 Mei 2012

Inkubator Saya

 Anak ayam mula membuat lubang bernafas untuk keluar dari cengkerangnya.

 Gambaran dalam sebuah inkubator

Beberapa anak ayam yang sudah menetas.

Inilah beberapa senario dalam inkubator saya. Inkubator ini saya beli secara terpakai daripada seorang penternak yang sudah mengibarkan bendera putih akibat serangan sampar ayam. Kapisiti inkubator ini boleh memuatkan 100 biji telur dalam satu-satu masa.

Inkubator ini saya bahagikan kepada 3. Setiap minggu saya akan memasukkan sejumlah 33 biji telur. Selepas 18 hari dieramkan, beberapa biji telur akan mula menetas. Biasanya kadar penetasan saya hanyalah 70% sahaja. Namun saya bersyukur kerana setiap minggu saya mampu menghasilkan anak ayam berjumlah 18 ke 20 ekor. 

Setelah 3 hari menetas barulah saya alihkan anak-anak ayam tadi ke dalam kurungan lain dan diberikan makanan serta minuman. Sebelum memasukkan telur lain saya akan bersihkan terlebih dahulu inkubator saya. InsyaAllah beberapa bulan lagi saya akan menambah bilangan inkubator ini kepada 3 unit yang berkonsepkan automatik sepenuhnya.

Khamis, 3 Mei 2012

Reban awal


Inilah reban awal yang saya buat sendiri pada Jun 2010. Tidaklah berapa sempurna namun cukup untuk menempatkan ayam berjumlah 80 ekor.