Halaman

Jumaat, 18 Januari 2013

Bunga Orkid Harimau

Hari ini saya nak keluar tajuk sedikit. Lari dari landasan buat sementara waktu tetapi masih dalam bidang pertanian. Saya ingin kongsikan bunga orkid harimau yang sedang mengeluarkan bunga. Bunganya akan bertahan selama 3 bulan. Bunga orkid harimau ini adalah spesis orkid hutan dan habitat asalnya di atas pokok-pokok besar di dalam hutan. Bunganya memang cantik dan harganya kalau di tapak semaian memang agak mahal dan boleh mencecah hingga ribuan ringgit. Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan benih orkid harimau ini bolehlah hubungi saya. Insyaallah saya akan dapatkan harga yang cukup murah dan berbaloi.




Isnin, 10 Disember 2012

3 dalam 1

Ayam kampung asli tidak bergantung kepada makanan komersial seperti dedak atau pun jagung. Pemberian sagu rumbia, kelapa dan padi hancur kasar serta serbuk dapat menampung kos makanan. Ayam kampung hanya makan apabila lapar dan akan berhenti apabila sudah kenyang. Temboloknya yang kecil akan menghadkan pengambilan makanannya. Kebiasaannya ayamakan pergi mencakar di bawah daun-daun kering atau celah-celah rumput untuk mengintai serangga-serangga kecil seperti semut, anai-anai dan kumbang sebagai hidangan eksotik temboloknya.


Khamis, 8 November 2012

Induk Ayam

Induk ayam saya miliki buat masa ini adalah sebanyak 25 ekor ibu dan 2 ekor bapa. Induk ini akan dilepaskan bermula pada pukul 10 pagi dan akan masuk semula ke dalam reban setelah matahari terbenam. Alhamdulilah buat masa kini disiplin induk-induk ayam saya cukup tinggi dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Tidak ada seekor pun yang tinggal di luar reban pada waktu malam. Hal ini akan dapat memastikan induk-induk ayam ini selamat daripada serangan ular, musang, anjing dan lain-lain pemangsa. Terdapa satu tips untuk saya kongsi bersama anda semua bagi menangani masalah ayam tidur di atas pokok.

Pertamanya kita hendaklah memastikan reban tempat tinggal ayam kita berada dalam keadaan selesa. Selesa bermaksud tidak terlalu sesak dan tempat tenggek ayam tadi mencukupi. Kebersihan reban juga perlu dititikberatkan kerana reban yang kotor dan penuh taik akan menimbulkan rasa kurang senang ayam tadi untuk tidur.

Selain itu, letakkan bekas makanan dan air di dalam reban bagi mengundang ayam tadi masuk ke dalam reban. Hal ini akan memujuk ayam tadi untuk tinggal di dalam reban. Ini adalah kerana makanan yang sentiasa ada akan memberi rasa seronok ayam tadi.

Jika ada ayam yang tidur di atas pokok, tangkap dan kurung dia di dalam sangkar khas di dalam reban. Sangkar tersebut cukup untuk memuatkan ayam tadi sahaja. Penjarakan di situ selama seminggu. Selepas seminggu, lepaskan ia seperti biasa. Insyaallah selepas itu ayam tadi akan masuk ke dalam reban untuk tidur pada waktu malam. Namun ada juga kes yang mana ayam tadi tetap degil dan tidak mahu mengikut peraturan. Jalan penyelesaiannya mudah sahaja, berikan ia ubat mata pisau. (sembelih aje atau jual).



Sabtu, 6 Oktober 2012

Kerja Membuat Dangau



Setelah selesai kerja-kerja membuat "banglo ayam" tumpuan diarahkan untuk menyiapkan dangau sebagai tempat istirehat dan stor barang-barang. Pembinaan dangau ini penting kerana saya bercadang untuk memasukkan bekalan elektrik daripada TNB untuk menampung keperluan di dalam kebun saya.

Keluasan dangau saya bina ialah 8 kaki x 12 kaki. Keluasan ini memadai untuk tujuan kami sekeluarga beristirehat setelah penat membuat kerja-kerja rutin. Di bawah ini dilampirkan gambar-gambar semasa pembinaan di tapak semantara. Hal ini adalah kerana tapak dangau belum lagi saya beli. (budget tak cukup).






Jumaat, 14 September 2012

"Banglo ayam" sudah siap



Alhamdulilah berkat usaha sepenuh hati sambil dibantu oleh 2 rakan kerja dapat saya menyiapkan "banglo ayam" saya dalam tempoh yang dirancang. Dengan keluasan 42 kaki x 15 kaki dan kos yang melibatkan hampir RM10 000.00 termasuk kos buruh maka inilah hasil yang dapat ditatap.

Kemasukan anak-anak ayam akan mula dilakukan selepas siap membina tangga ayam nanti. Dengan rendah hati saya bermohon kepada Allah semoga usaha saya ini mendapat berkat dari-Nya dan beroloeh kejayaan yang diharapkan.






Ahad, 19 Ogos 2012

Tuaian pisang



Pisang berangan yang ditanam sudah mula membuahkan hasil. Peraih datang sendiri ke kebun untuk mengambil buah pisang. Saya hanya menebang dan mengumpulkan buah di tepi pintu pagar.

Harga ladang untuk buah pisang berangan ialah RM1.60 sekilogram. Harga termasuk tandan dan kertas pembungkus yang turut ditimbang sama.

Alhamdulilah... rezeki dari Allah s.w.t



Sabtu, 11 Ogos 2012

Kemaskini "banglo ayam".



Alhamdulilah fasa pertama pembinaan "banglo ayam" telah berjalan lancar. Ayam-ayam telah dipindahkan ke reban baru yang telah disiapkan dan dikurung selama 3 hari tanpa dilepaskan. Ini bagi memastikan kesemua ayam tadi serasi dengan reban baru yang dibina.

Setelah kerja-kerja merobohkan reban asal dilakukan, barulah pembinaan fasa ke-2 "banglo ayam" bermula. Di bawah ini disertakan beberapa keping gambar bagi santapan mata para pengunjung.