Halaman

Khamis, 25 Ogos 2016

Ke Mana Menghilang


Tiga tahun dua bulan bukan satu jangkamasa yang pendek. Ya tempoh itulah saya tinggalkan sebarang coretan dalam blog ini. Bukan saya sudah berkubur tetapi fenomena media sosial telah sedikit sebanyak membunuh catatan dalam blog ini.

Mulai hari ini saya berazam untuk meneruskan bicara saya dalam blog ini buat sesiapa yang sudi membacanya. Sebenarnya saya pun dah terlupa kata laluan blog ini akibat terlalu lama ditinggalkan. Alhamdulilah saya sudah mendapatkan semula kata laluan saya.

Sepanjang tempoh 3 tahun ini juga terlalu banyak kisah suka duka yang dialami. In syaa Allah akan saya kongsikan catatan itu nanti. Rasanya setakat ini bicara saya pada kali ini. rasa kekok nak menaip panjang. Bertemu di lain bicara.

Terima kasih

Rabu, 12 Jun 2013

Hujan Yang Turun

Hujan yang turun lebat telah membawa pasir-pasir dari atas tanah kebun saya ke kolam takungan yang disediakan. Pasir ini saya gunakan untuk tujuan membuat asas konkrit dan mengikat bata. Selain itu pasir tersebut saya gunakan untuk menabur di dalam reban bagi memudahkan ayam-ayam mandi tanah serta tinja ayam akan cepat mereput dan kurang berbau.

Setelah parit kecil saya buat di tepi kebun saya, laluan air lebih terurus berbanding dengan sebelum adanya parit yang saya buat. Jika dahulu arus air akan melanda lorong-lorong yang terbentuk akibat hakisan di celah-celah pepohon pisang tetapi kini tidak lagi. Saya telah membuat satu lencongan parit di bahagian tengah tanah saya untuk membawa saluran ke tepi parit yang saya bina.

Di bawah ini diberikan sedikit gambaran situasi sebelum dan selepas parit dibina.

Sebelum





Selepas parit dibina




Rabu, 5 Jun 2013

Pembersihan Kebun Pisang

Hari ini saya telah membersihkan kawasan penanaman pisang berangan saya. Saya mengambil keputusan untuk menanam pisang emas selepas ini. Walaupan pisang emas agak ringan berbanding dengan pisang berangan iaitu sekitar 12kg. Namun penjagaan pisang emas lebih mudah berbanding dengan pisang berangan.

Pisang emas boleh mengeluarkan hasil selepas 10 bulan ditanam berbanding dengan pisang berangan memerlukan 13 bulan baru mengeluarkan hasil. Pisang emas dapat mengeluarkan hasil sehingg generasi ke-3 berbanding pisang berangan hanya sekali sahaja mengeluarkan hasil dan hasil ke-2 selalunya akan diganggu penyakit dan kualiti buah sangat buruk.





Sabtu, 11 Mei 2013

Kemaskini Pembesaran "Banglo Ayam"

Pembesaran banglo ayam telah bermula setelah mempunyai sedikit masa lapang. Saya cuma sempat mendirikan tiang dan membuat sedikit asas pembinaan reban ayam yang baru. Keluasan yang dibina ialah 24 kaki x 42 kaki.



Khamis, 18 April 2013

Serangan Ular Tedung

Semalam saya agak terkejut apabila sampai sahaja di kebun didapati pintu reban bergerak-gerak. Rasa curiga dan takut pun ada. Perlahan-lahan saya buka pintu reban dan saya dapati seekor ular tedung sedang terperangkap di dalam jaring penahan anak ayam.

Bagai nak jatuh jantung seketika melihat ular tedung yang agak besar itu. Namun saya tidak mudah panik. Saya segera mengambil sebatang pahat yang kebetulan berada berhampiran dengan reban saya. Dengan niat untuk membunuh ular tersebut saya dengan satu rejaman yang agak kuat telah memancung kepala ular tedung tersebut.

Sebanyak 5 ekor anak ayam telah terkorban akibat terkena semburan bisa ular tersebut semasa terperangkap di dalam jaring. Alhamdulilah cuma 5 ekor sahaja yang terkorban dan beberapa ekor lagi sedang mengalami kesakitan akibat tempias semburan bisa ular tersebut. Saya segera memberikan anak ayam minum air kelapa muda.

Sejak peristiwa tersebut, saya akan pastikan belerang ditabur disekeliling reban setiap minggu. Ada hikmah disebalik setiap kejadian yang berlaku.





Sabtu, 16 Mac 2013

Ubi Kayu Sebagai Makanan Ayam

Hari ini saya telah mencabut beberapa batang ubi kayu yang saya tanam di kawasan kebun saya untuk diberi makan kepada ayam. Alhamdulilah setiap pokok ubi kayu yang saya tanam menghasilkan hampir 10kg ubi kayu setiap pokok. Ubi-ubi kayu ini akan saya potong kepada beberapa bahagian agar mudah untuk ayam-ayam saya makan dan tidak berebut-rebut antara satu sama lain.

Ubi kayu adalah sumber karbohidrat yang tinggi. Penanamannya yang mengambil masa 6 bulan untuk matang( sedia dituai). Jika melebihi 6 bulan, ubi kayu akan sedikit keras dan tidak sesuai untuk direbus atau dibuat kerepek. Namun tujuan saya menanam ubi kayu adalah untuk dijadikan makanan sampingan kepada ayam, jadi tidak timbul isu ubi kayu itu keras kerana ayam tidak menolak makanan yang terhidang.

Insyaallah dalam nukilan yang akan datang, saya akan berikan tips untuk menanam ubi kayu bagi menghasilkan ubi yang banyak bagi setiap pokok.



Khamis, 7 Mac 2013

Pembesaran "banglo ayam".

Alhamdulilah syukur..... Perancagan saya untuk membesarkan lagi reban sedia ada dalam landasan yang betul. Reban sedia ada akan dismbung di bahagian tepi iaitu seluas 24 kaki x 42 kaki. Reban baru yang bakal dibina ini khas untuk menempatkan induk-induk ayam dan ayam yang berusia 4 bulan hingga tempoh untuk dijual. Reban lama akan saya gunakan untuk menempatkan anak-anak ayam berusia sebulan hingga 3 bulan.

Perancangan ini mungkin memakan masa kerana banyak kekangan masa yang terpaksa saya tempuhi. Untuk mengambil seorang pekerja, rasanya belum sampai ke tahap itu memandangkan ayam-ayam pun masih dalam kuantiti yang sedikit. (ciput je lagi). Insyaallah nanti jika ada rezeki dari Allah, saya akan ambil seorang pekerja sambilan untuk kerja-kerja di kebun saya.




Sabtu, 23 Februari 2013

Sagu Rumbia Sebagai Makanan Ayam

Selain ubi kayu sebagai bahan makanan tambahan kepada ayam-ayam saya, terdapat lagi satu sumber semulajadi yang menjadi makanan sampingan kepada ayam-ayam saya. Pemberian sagu rumbia merupakan alternatif kepada kenaikan makanan ayam proses (dedak).

Sagu rumbia saya beli daripada penduduk berhampiran dengan harga RM20 sepokok. Namun kos menebang dan mengangkut batang rumbia ke dalam kebun terpaksa saya tanggung. Penat jugalah untuk mendapatkan sebatang pokok rumbia. Hal ini adalah kerana batangnya yang besar dan berat memerlukan tenaga yang banyak.

Pohon rumbia yang dipilih terdiri daripada pohon yang sudah mengeluarkan buah. Ini adalah kerana kandungan sagunya pada ketika itu amat banyak dan baik berbanding dengan pokok yang belum mengeluarkan buah ataupun sudah hampir mati.

Batang sagu akan direndam didalam air sebagai tempat penyimpanan. Hal ini kerana batang sagu yang terdedah kepada udara akan mereput dan  berkulat. Untuk mengekalkan sagunya, ianya perlu direndam di dalam kolam.

Kini saya mengupah penduduk sekitar untuk menebang dan mengangkut batang sagu ke kebun saya. Kadarnya masih berbaloi berbanding dengan kudrat yang perlu saya keluarkan untuk mengangkut batang sagu itu sendiri ke kebun saya.




Rabu, 20 Februari 2013

Kemaskini Dangau

Dangau yang telah saya buat telah saya pindahkan ke tapak yang baharu. Tapak yang baharu ini mempunyai pelapik tiang yang diperbuat daripada tiang konkrit setinggi 4 kaki dari aras tanah. Keadaan yang tinggi ini akan dapat saya gunakan untuk menyimpan alatan kebun di bawah dangau.

Meter bekalan elektrik akan dimasukkan dan diletakkan di dangau ini. Penyambungan akan dipohon kepada TNB dalam masa terdekat. (Bergantung kepada ongkosnya). Dinding akan saya perbuat menggunakan buluh untuk bagi melindungi diri daripada dilihat oleh orang yang lalu lalang apabila saya sedang berehat. (tidur kepenatan).




Jumaat, 18 Januari 2013

Bunga Orkid Harimau

Hari ini saya nak keluar tajuk sedikit. Lari dari landasan buat sementara waktu tetapi masih dalam bidang pertanian. Saya ingin kongsikan bunga orkid harimau yang sedang mengeluarkan bunga. Bunganya akan bertahan selama 3 bulan. Bunga orkid harimau ini adalah spesis orkid hutan dan habitat asalnya di atas pokok-pokok besar di dalam hutan. Bunganya memang cantik dan harganya kalau di tapak semaian memang agak mahal dan boleh mencecah hingga ribuan ringgit. Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan benih orkid harimau ini bolehlah hubungi saya. Insyaallah saya akan dapatkan harga yang cukup murah dan berbaloi.




Isnin, 10 Disember 2012

3 dalam 1

Ayam kampung asli tidak bergantung kepada makanan komersial seperti dedak atau pun jagung. Pemberian sagu rumbia, kelapa dan padi hancur kasar serta serbuk dapat menampung kos makanan. Ayam kampung hanya makan apabila lapar dan akan berhenti apabila sudah kenyang. Temboloknya yang kecil akan menghadkan pengambilan makanannya. Kebiasaannya ayamakan pergi mencakar di bawah daun-daun kering atau celah-celah rumput untuk mengintai serangga-serangga kecil seperti semut, anai-anai dan kumbang sebagai hidangan eksotik temboloknya.


Khamis, 8 November 2012

Induk Ayam

Induk ayam saya miliki buat masa ini adalah sebanyak 25 ekor ibu dan 2 ekor bapa. Induk ini akan dilepaskan bermula pada pukul 10 pagi dan akan masuk semula ke dalam reban setelah matahari terbenam. Alhamdulilah buat masa kini disiplin induk-induk ayam saya cukup tinggi dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Tidak ada seekor pun yang tinggal di luar reban pada waktu malam. Hal ini akan dapat memastikan induk-induk ayam ini selamat daripada serangan ular, musang, anjing dan lain-lain pemangsa. Terdapa satu tips untuk saya kongsi bersama anda semua bagi menangani masalah ayam tidur di atas pokok.

Pertamanya kita hendaklah memastikan reban tempat tinggal ayam kita berada dalam keadaan selesa. Selesa bermaksud tidak terlalu sesak dan tempat tenggek ayam tadi mencukupi. Kebersihan reban juga perlu dititikberatkan kerana reban yang kotor dan penuh taik akan menimbulkan rasa kurang senang ayam tadi untuk tidur.

Selain itu, letakkan bekas makanan dan air di dalam reban bagi mengundang ayam tadi masuk ke dalam reban. Hal ini akan memujuk ayam tadi untuk tinggal di dalam reban. Ini adalah kerana makanan yang sentiasa ada akan memberi rasa seronok ayam tadi.

Jika ada ayam yang tidur di atas pokok, tangkap dan kurung dia di dalam sangkar khas di dalam reban. Sangkar tersebut cukup untuk memuatkan ayam tadi sahaja. Penjarakan di situ selama seminggu. Selepas seminggu, lepaskan ia seperti biasa. Insyaallah selepas itu ayam tadi akan masuk ke dalam reban untuk tidur pada waktu malam. Namun ada juga kes yang mana ayam tadi tetap degil dan tidak mahu mengikut peraturan. Jalan penyelesaiannya mudah sahaja, berikan ia ubat mata pisau. (sembelih aje atau jual).



Sabtu, 6 Oktober 2012

Kerja Membuat Dangau



Setelah selesai kerja-kerja membuat "banglo ayam" tumpuan diarahkan untuk menyiapkan dangau sebagai tempat istirehat dan stor barang-barang. Pembinaan dangau ini penting kerana saya bercadang untuk memasukkan bekalan elektrik daripada TNB untuk menampung keperluan di dalam kebun saya.

Keluasan dangau saya bina ialah 8 kaki x 12 kaki. Keluasan ini memadai untuk tujuan kami sekeluarga beristirehat setelah penat membuat kerja-kerja rutin. Di bawah ini dilampirkan gambar-gambar semasa pembinaan di tapak semantara. Hal ini adalah kerana tapak dangau belum lagi saya beli. (budget tak cukup).






Jumaat, 14 September 2012

"Banglo ayam" sudah siap



Alhamdulilah berkat usaha sepenuh hati sambil dibantu oleh 2 rakan kerja dapat saya menyiapkan "banglo ayam" saya dalam tempoh yang dirancang. Dengan keluasan 42 kaki x 15 kaki dan kos yang melibatkan hampir RM10 000.00 termasuk kos buruh maka inilah hasil yang dapat ditatap.

Kemasukan anak-anak ayam akan mula dilakukan selepas siap membina tangga ayam nanti. Dengan rendah hati saya bermohon kepada Allah semoga usaha saya ini mendapat berkat dari-Nya dan beroloeh kejayaan yang diharapkan.






Ahad, 19 Ogos 2012

Tuaian pisang



Pisang berangan yang ditanam sudah mula membuahkan hasil. Peraih datang sendiri ke kebun untuk mengambil buah pisang. Saya hanya menebang dan mengumpulkan buah di tepi pintu pagar.

Harga ladang untuk buah pisang berangan ialah RM1.60 sekilogram. Harga termasuk tandan dan kertas pembungkus yang turut ditimbang sama.

Alhamdulilah... rezeki dari Allah s.w.t



Sabtu, 11 Ogos 2012

Kemaskini "banglo ayam".



Alhamdulilah fasa pertama pembinaan "banglo ayam" telah berjalan lancar. Ayam-ayam telah dipindahkan ke reban baru yang telah disiapkan dan dikurung selama 3 hari tanpa dilepaskan. Ini bagi memastikan kesemua ayam tadi serasi dengan reban baru yang dibina.

Setelah kerja-kerja merobohkan reban asal dilakukan, barulah pembinaan fasa ke-2 "banglo ayam" bermula. Di bawah ini disertakan beberapa keping gambar bagi santapan mata para pengunjung.



Khamis, 9 Ogos 2012

Fasa pertama "banglo ayam" siap.



Alhamdulilah.... Syukur dipanjatkan kepada Allah s.w.t kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya fasa pertama pembinaan "banglo ayam" sudah siap. Ia sudah bersedia untuk menerima kehadiran penghuni baru.




Sabtu, 4 Ogos 2012

Seminggu selepas pembinaan



Ini adalah hasil daripada kerja-kerja pembinaan "banglo ayam" yang telah dimulakan sejak seminggu yang lalu. Disertakan beberapa keping gambar untuk tatapan. Alhamdulilah, syukur semunya berjalan seperti yang dirancang.